Kerenah ibu bapa cabaran getir guru mendisiplinkan anak bangsa

Dari kiri; Pengurus Dasar & Advokasi Yayasan Varkey, Nicholas Piachaud, Naib Presiden Persatuan Pendidikan Awal India, Swaroop Rawal, Pengarah Program YTL Foundation, Datin Kathleen Chew, Pengarah Eksekutif Frogasia, Lou Yeoh, Tokoh Pendidik, Puan Seri Sherina Leong-Aris dan Pereka Senibina, Red Hong Yi pada Persidangan Pendidikan Kebangsaan Leaps of Knowledge anjuran YTL Foundation di JW Marriott Hotel, Kuala Lumpur. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

 

By Norliza Abdullah23 November 2019

KUALA LUMPUR: Tugas guru semakin mencabar dengan pelbagai kerenah terutama ibu bapa yang sering menyalahkan pihak sekolah gagal mendisiplinkan anak mereka.

Tokoh Pendidik Puan Sri Sherina Aris, berkata tidak dinafikan mereka berhadapan pelbagai ugutan selain tindakan disaman yang seterusnya menjejas imej mereka sebagai pendidik.

Beliau berkata, senario ini tidak sepatutnya berlaku jika kedua-dua pihak memahami tugas masing-masing dalam mendisiplinkan anak bangsa,

Katanya, tugas mendidik tanggungjawab semua membabitkan keserasian antara ibu bapa dan guru serta sokongan masyarakat setempat dalam melahirkan generasi muda berilmu.

“Tugas pendidik bukan sekadar mengajar di bilik darjah semata-mata, malah berperanan mendisiplinkan murid selagi mereka berada di bawah pengawasan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ceramah persidangan pendidikan kebangsaan Leaps of Knowledge anjuran YTL Foundation dengan kerjasama penyedia pendidikan berasaskan teknologi digital, FrogAsia, di sini hari ini. Hadir sama Pengarah Program Yayasan YTL, Datin Kathleen Chew.

Sherina berkata, guru bukan profesion semata-mata, malah lebih daripada itu dalam membentuk generasi berilmu dan berhemah tinggi.

Katanya, guru perlu ada keberanian, berwibawa dan mempunyai jati diri sebagai pendidik tanpa mengira agama dan keturunan.

 

 

Tokoh Pendidik Puan Sri Sherina Aris. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman 

“Ada pihak mendakwa segelintir graduan memilih profesion guru sebagai pilihan kedua selepas gagal mendapat pekerjaan lain, kesannya golongan ini dedikasi dalam menjalankan tugas. Bagaimanapun saya optimis insan bergelar pendidik mampu menggalas tugas murni ini dengan sempurna.

“Mereka perlukan pengiktirafan, penghargaan, bimbingan serta latihan berterusan serta imbuhan saksama dengan tanggungjawab yang dipikul,” katanya.

Berkongsi pengalaman lalu, Sherina yang berasal dari Ipoh Perak, berkata kemiskinan keluarga bukan halangan seorang murid untuk mencapai kecemerlangan akademik.

“Dulu saya kurus, pakaian tidak kemas, seorang guru Datin Azizah (ibu pelakon Jit Murad) memanggil dan mempelawa ke rumahnya untuk bimbingan tambahan.

“Ketika itulah saya berpeluang menikmati sajian makan tengah hari paling lazat dan disajikan dengan minum petang setiap minggu mengikuti kelas tambahan di rumah beliau,” kata anak sulung daripada lima adik beradik yang terpaksa tinggal dalam sebuah bilik tujuh sekeluarga.

Sherina menerima bantuan bulanan RM70 daripada Kelab Rotary ketika itu, berkata lahir dalam sebuah keluarga berbangsa Tionghua tidak menghalang beliau bersama keluarga Melayu semata-mata untuk mendapatkan ilmu.

“Saya bersyukur kerana ibu bapa begitu mementingkan pelajaran walaupun mereka tidak belajar tinggi, bagi membolehkan kami meneruskan kelangsungan hidup dan keluar daripada kemiskinan,” katanya.

Source : https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/11/631351/kerenah-ibu-bapa-cabaran-getir-guru-mendisiplinkan-anak-bangsa